Tuesday, September 15, 2009

Sinopsis

Dari 9 ke 7 dan berakhir di kota Jakarta..

Saturday, September 5, 2009

Bila Emosi Mengalahkan Logika


Isu 'kepala lembu' kecoh diperkatakan disini sana khususnya di negeri Selangor. Pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 dipertikai sekerasnya oleh penduduk tempatan.

Rentetan daripada itu, sebuah tunjuk perasaan 'aman' di anjurkan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Jumaat lalu. Tiada salahnya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, tetapi tindakan mengarak kepala lembu yang dianggap binatang suci agama Hindu kelihatan amat keterlaluan!

Untuk menangani masalah tersebut, kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif dengan mengadakan dialog dengan penduduk setempat. Dialog dihadiri Menteri Besar sendiri dan beberapa exco negeri. Seperti dijangka dialog tersebut tidak ubah menjadi sebuah perjumpaan tidak bertamadun hasil daripada penduduk yang sering menggangu ucapan pentadbir negeri. Segala penerangan sang pemimpin ditentang habis-habisan. Mujur kejadian lebih buruk tidak berlaku walaupun tanda-tanda kehadirannya amat jelas apabila seorang pemimpin Hindu bangun untuk memberikan pendapat. Beliau hampir dibaling kerusi.

Abi adalah rakyat Malaysia, berbangsa Melayu dan beragama Islam sejujurnya merasa kesal, sedih dan malu atas apa yang berlaku. Benar, penduduk berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berwajib setelah mengambil kira penempatan baru kuil tersebut terletak di kawasan penduduknya majorititnya beragama Islam. Tetapi dengan membawa kepala lembu bersama, diludah dan dipijak bukan sama sekali caranya. Ini radikal! Apa dengan cara tersebut masalah boleh diselesaikan? Atau mungkin dengan cara tersebut kaum India terus tunduk dan membenarkan ketuanan Melayu?

Perkara ini mungkin boleh dikaitkan dengan satu kejadian memalukan yang berlaku di kala solat Jumaat baru-baru ini. Sedang jemaah lain khusyuk mendengar khatib berkhutbah, seorang pemuda Melayu hampir menghayunkan parang kepada seorang pemuda Arab hanya kerana kereta mereka bergesel antara satu sama lain. Hebat sungguh perilaku pemuda tersebut sambil disaksikan oleh beratus jemaah yang hadir! Mungkin beliau merasakan dirinya kuat dan berani dengan bertindak sedemikian. Perlakuan jumud dan tidak langsung boleh diterima akal.

Percayalah, bangsa Melayu akan terus tidak dihormati dan di hina jika kita terus bersikap tidak rasional, beremosi dan tidak profesional. Seharusnya kita berasa malu setelah apa yang berlaku.

Inilah juga contoh yang terbaik jika manusia cuba menyelesaikan masalah dengan bertunjangkan emosi dan bukan dengan cara menggunakan akal tuhan berikan. Abi juga dahulu cenderung bermain emosi tatkala dirudung masalah tetapi perubahan mesti dilakukan. Hasilnya kepuasan yang lumayan. Masalah dapat dibendung tanpa perlu menyakitkan hati sesiapa. Isu 'kepala lembu' ini seharusnya diselesaikan dengan cara terbaik oleh semua pihak agar bahang api perkauman yang semakin dirasai dewasa ini dapat dikawal sepenuhnya. Sebaiknya segala bentuk politik dapat dihindarkan daripada isu ini baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Janganlah isu ini dijadikan alat untuk memenangkan parti sendiri dan menelanjangkan kelemahan parti lawan. Cukuplah, rakyat Malaysia sudah muak dengan permainan politik kotor sedemikian rupa.

Tuesday, September 1, 2009

Abi sayang Aki dan Tokki..

Mungkin dengan berblog cara yang terbaik untuk sampaikan apa jua yang terlintas di fikiran. Meluahkan apa yang dirasai jauh di lubuk hati.

Ingin Abi mengharapkan bantuan rakan-rakan di bulan Ramadhan al Mubarak ini untuk sama-sama berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua datuk yang sedang gering.

Mereka merupakan antara penyeri hidup sehinggalah ke hari ini. Masih segar dalam ingatan, Aki sentiasa menghadiahkan pelbagai jenis mainan di alam kanak-kanak. Juga tidak pernah lupa akan Aki yang berusaha sedaya upaya untuk menempatkan Abi dan adik beradik bersekolah di sekolah yang terpilih. Semuanya membuahkan hasil.

Tokki merupakan antara salah seorang manusia yang dikagumi. Tenaga tulang empat keratnya begitu luar biasa di zaman sihatnya. Kebun seluas seekar lebih dikerjakannya seorang diri. Abi juga masih di dukung tokki untuk menaiki van sekolah walhal dikala itu diri sudah menjangkau darjah 2.

Begitu hiba bila mengenang 2 hari yang lalu semasa mengurut tokki di rumah, beliau menyatakan sakitnya sudah tidak tertanggung! Kanser tulang belakangnya mengakibatkan beliau tidak berupaya untuk berbuat apa-apa walaupun hanya duduk. Zikir menjadi peneman sejati tatkala kesakitan mencucuk.

Aki pula terpaksa berulang ke hospital 3 kali seminggu untuk menjalani rawatan haemodalisis. Salur darah ditebuk di tangannya untuk tujuan itu. Selalu juga Aki meluahkan kebimbangannya sama ada masih sempatkah beliau melihat cucunya ini bekerja.

Justeru. alangkah beruntungnya jika doa-doa kalian dapat disalurkan kepada mereka. Doa Abi hanya satu, jika mereka masih mampu berbuat kebajikan dengan kudrat yang ada di dunia ini, mereka akan pulih seperti sediakala. Dan jika sebaliknya, ambillah mereka agar hilang segala keperitan menggunung yang ditanggung.. Sesungguhnya tuhan itu maha mengetahui keadaan hamba-hambanya.

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan al Mubarak


Alhamdulillah, masih lagi sempat mengecapi nikmat lapar dan dahaga.

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk berada di dalam bulan penuh keberkatan.

Alhamdulillah, peluang untuk terus membuat kebajikan di dunia untuk akhirat masih diberi.

Alhamdulillah, masih lagi diberi kekuatan untuk terus belajar menjadi yang lebih baik.

Alhamdulillah, masih amat merasai apa ertinya kehilangan untuk dijadikan pengajaran.

Alhamdulillah, diberi segala macam nikmat umpama melihat, bercakap dan mendengar dengan baik.

Alhamdulliah, menyedari kesabaran itu amat perlu.

Alhamdulillah, kerana diberi kesedaran dan belajar untuk lebih menghargai setiap insan di dunia.

Alhamdulillah, nikmat sihat masih lagi diberi.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam..

Friday, August 14, 2009

Karya Ulung


Baru sahaja habis menikmati filem hebat Ada Apa Dengan Cinta yang sudah ditonton untuk sekalian kalinya. Jarang Abi menghayati sesebuah puisi sedalam puisi di dalam filem ini. Sememangnya puisi daripada Indonesia amat sukar ditandingi kehebatannya. Tidak berniat untuk menyatakan puisi yang di hasilkan para sasterawan di Malaysia kurang kualitinya, tetapi mutu dan gaya penyampaian puisi dari Indonesia ternyata lebih lunak dan menyentuh jiwa, hati dan perasaan.

Puisinya Rangga 1

Perempuan datang atas nama cinta
Bunda pergi karena cinta
Digenangi air racun jingga adalah wajahmu
Seperti bulan lelap tidur di hatimu
yang berdinding kelam dan kedinginan
Ada apa dengannya
Meninggalkan hati untuk dicaci
Lalu sekali ini aku melihat karya surga
dari mata seorang hawa
Ada apa dengan cinta

Tapi aku pasti akan kembali
dalam satu purnama
untuk mempertanyakan kembali cintanya..

Bukan untuknya, bukan untuk siapa
Tapi untukku
Karena aku ingin kamu
Itu saja.

Puisi Rangga 2

Kulari ke hutan kemudian menyanyiku
kulari ke pantai kemudian teriakku
sepi, sepi dan sendiri
aku benci

Aku ingin bingar
aku mau di pasar
bosan aku dengan penat
dan enyah saja kau pekat
seperti berjelaga
jika ku sendiri

Pecahkan saja gelasnya
biar ramai
biar mengaduh sampai gaduh

Ah...ada malaikat menyulam
jaring laba-laba belang
di tembok keraton putih
kenapa tak goyangkan saja loncengnya
biar terdera

Atau aku harus lari ke hutan
belok ke pantai .........

Hebat bukan? Gaya bahasanya amat menarik dan susunan katanya terlalu memukau!




Thursday, August 6, 2009

ISA..ISA..2

Kelas Criminal Trial & Advocacy (CTA) yang dihadiri baru-baru ini sekali lagi membuka minda Abi tentang undang-undang paling kontroversi di Malaysia. Undang- undang yang diperkatakan tidak lain dan tidak bukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Untuk pengetahuan umum, pensyarah subjek CTA adalah merupakan peguam yang masih lagi aktif di bidang guaman. Beliau memukau seisi kelas dengan kenyataannya berhubung undang-undang ini. Begini ujar beliau secara ringkasnya.

Rakyat Malaysia yang hidup di negara aman damai ini secara majoritinya sangat berpuas hati dengan aturan hidup masing-masing. Cukuplah sekadar dengan lengkap makannya, minumnya, pakaiannya, dan tempat tinggalnya, ianya sudah memadai. Soal hak tidak langsung dipersoalkan. Oleh demikian undang-undang digelar 'drakonian' bagi sesetengah pihak ini tidak diambil pusing oleh rakyat kebanyakan. Cuba kita sejenak membayangkan salah satu ahli keluarga terdekat kita yang dikenakan tindakan di bawah akta ini. Tanpa usul periksa, tanpa disoal siasat, dan tanpa diberikan hak untuk membela diri di tahan di Kem Kamunting selama beberapa tahun. Itulah reliti yang berlaku kepada salah seorang tahanan ISA yang di tahan sehinggakan beliau terpaksa melupakan hasrat untuk hadir ke majlis pengebumian anak kandungnya sendiri!

Tersentak dengan kenyataan tersebuat, seisi kelas tersedar dari lamunan yang mengatakan undang-undang ISA yang wujud kini masih relevan untuk di praktiskan. Bagi Abi, tidaklah untuk menyatakan sokongan kepada perhimpuan membantah ISA baru-baru ini tetapi pendirian menyatakan jika tidak dibatalkan terus, undang- undang ISA perlu digubal semula sesempurna mungkin untuk menjamin keadilan untuk semua.

Thursday, July 16, 2009

Manek Urai

Walaupun agak terkejut, tetapi keputusan di pilihanraya kecil di Manek Urai sememangnya sudah dijangka. Pakatan rakyat tidak lagi boleh menafikan kenyataan bahawa mereka sedang bergelut dengan pelbagai masalah. DAP dengan caranya yang tidak pernah bersetuju, Pas dengan fiilnya yang hinnga kini masih mengelirukan penyokongnya sendiri dan PKR masih meraba-raba mencari formula bagi memulihkan semangat ahlinya terutama di Pulau Pinang sangat menyumbang kepada keputusan pilihanraya kecil ini.

Kemenangan Pas yang berbekalkan hanya 65 undi sudah cukup mencemaskan pihak pembangkang. Bagi Abi, untuk mereka terus relevan dan kembali menarik perhatian terutamanya golongan muda, mereka wajib berbuat sesuatu. Rakyat muak dengan ego dan agenda masing-masing yang tidak langsung membantu malahan menjadikan mereka semakin hari semakin suram. Jika dibiarkan, negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka tidak mustahil dengan mudah dirampas kembali BN di pilihanraya umum akan datang.

Bagi BN pula walaupun hanya dibezakan dengan 65 undi, yang kurang tetap kalah dan yang lebih ternyata menjadi pemenangnya. Walaupun begitu, keputusan pilihanraya kali ini cukup untuk memberi semangat baru kepada BN untuk terus berusaha demi mendapatkan kembali keyakinan rakyat. Abi merasakan isu PPSMI ditangani oleh kerajaan dengan bijak sekali dan ia turut menjadi faktor menyusutnya undi Pas pada pilihanraya ini.

Friday, July 10, 2009

Episod Duka Lara 2

Hari ini dugaan tuhan sekali terpaksa dihadapi. Lagi objek yang Abi sayang sangat terlepas dari genggaman. Telefon bimbit Abi tercicir dan hilang. Ya Allah..aku redha dan berserah kepadaMu. Sesungguhnya insanMu yang lemah ini sangat memerlukan bantuanMu di saat aku baru sahaja mendapat semangat baru. Tunjukkanlah aku jalan dan jangan Kau biarkan aku terus dalam keadaan putus asa. Kaulah tuhan yang maha mengasihani.

Monday, July 6, 2009

Episod Duka Lara

Sedari kecil, memang sudah menjadi kebiasaan dalam hidup Abi untuk terlampau menyayangi sesuatu yang pada zahirnya kelihatan amat remeh. Sebagai contoh, alat tulis yang diberi oleh mak atau abah semasa di sekolah rendah Abi akan menjaganya seperti emas! Abi sedih yang teramat jika habuk pensel yang diasah dibuang begitu sahaja di dalam bakul sampah di dalam kelas sebaliknya Abi lebih rela membuang habuk tersebut di dalam beg untuk dibuang di rumah.

Bagi Abi, setiap barang itu ada nilainya yang tersendiri dan mereka amat berjasa bagi Abi. Tidak bermaksud Abi lokek atau kedekut untuk berkongsi sesuatu tetapi Abi akan sedaya upaya menjaganya seperti barang yang bernyawa. Sifat tersebut masih kuat dalam diri. Jika Abi menyayangi sesuatu, sudah pasti akan menjaganya sebaik mungkin. Tidak kiralah apa jua barangan sekalipun, yang penting Abi akan menghormati barangan itu seolah-olah ianya bernyawa. Sehinggakan sudah menjadi rutin beromongan dengan motorsikal kesayangan Abi yang bernama 'Weq'.

Tetapi sifat tersebut seolah-olah sudah memakan diri Abi baru-baru ini. Abi langsung tidak dapat menerima realiti yang hakikatnya Abi telah kehilangan dua orang yang Abi terlalu sayang dalam hidup ini. Perasaan ingin kembali mendapatkan kasih sayang mereka masih membuak-buak menendang jiwa sehinggakan hampir gila dibuatnya. Jika selama ini diri merasakan sudah bersedia menghadapi segalanya, ianya ternyata tidak benar sama sekali. Sesekali terfikir apa yang dilalui sepanjang sebulan lalu terasa betapa kerdilnya Abi di sisi Illahi. Dia sudah begitu lama memberikan Abi ketenangan dan kegembiraan dalam hidup sehinggakan Abi tidak menyedari diri semakin lama semakin jauh denganNya.

Ternyata tuhan masih memberikan ruang dan peluang kepada Abi untuk berubah. Dugaan yang amat berat yang diujiNya amat membuatkan Abi tersentak dari lamunan selama ini. Orang yang disayangi hilang dengan sekelip mata diambilNya. Secara jujur, selama ini Abi tidak pernah mengalami pengalaman kehilangan orang yang tersayang. Sebulan lalu, kesemua kaun keluarga termasuk datuk-datuk dan nenek-nenek Abi masih ada di muka bumi ini. Masih lagi dapat Abi rasakan kasih sayang daripada mereka tetapi takdir tuhan menentukan segala-galanya. Salah seorang nenek Abi pergi menyahut seruan Illahi pada tanggal 7 Mei 2009. Segalanya berubah, dari satu ke satu masalah yang tidak pernah Abi terfikir untuk terjadi timbul. Betul- betul hampir gila dibuatnya!

Baru-baru ini, perasaan Abi kuat mengatakan yang emak merahsiakan sesuatu perkara. Sememangnya sudah menjadi lumrah ibu untuk tidak terus membebankan hati anaknya yang sedia terbeban. Akhirnya, ketahui juga Abi bahawa buah pinggang salah seorang datuk Abi rosak dan memerlukan bantuan mesin untuk sepanjang hidupnya! Subhanallah....berat sungguh dugaan tuhan yang bertimpa-timpa ini. Abi tertanya-tanya, mampukah Abi melaluinya sekali lagi sedangkan masalah yang lama masih kuat bersarang dalam hati dan dalam masa yang sama Abi terpaksa bergelut untuk memulakan program professional LLB yang diketahui umum rumitnya?

Setiap hari Abi termenung dan bertanya diri apa yang patut dilakukan? Keluarga dan rakan-rakan telah memberikan segalanya untuk Abi kembali memotivasikan diri. Direnung, difikir-fikirkan, tiada orang lain yang mampu untuk mengeluarkan Abi dari belenggu diri melainkan Abi sendiri. Jika ada kemahuan yang jitu, Abi pasti mampu untuk melaksanakannya. Dengan demikian bermulalah suatu era baru dalam hidup yang diharap dapat membaiki kelemahan diri. Masalah tetap menjadi masalah jika kita memandangnya sebagai suatu masalah. Ianya akan berubah menjadi penyelesaian jika kita menganggapnya sebagai suatu cabaran. Abi berdoa kehadrat Illahi agar diberikan segala kekuatan untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Kepada Allah jua lah Abi bermohon agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan dapat memberikan kesihatan terbaik kepada nenek dan datuk disamping Abi dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ilmu yang bakal dicurahkan. Insyaalah..

Tuesday, June 2, 2009

Cerita dari seberang

Seminggu yang lalu Abi baru kembali dari kota Bandung. Seperti biasa, bila bercuti pasti ada pengalaman menarik yang mahu dikongsi. Pengalaman ini mungkin berlainan sedikit dari cerita-cerita biasa orang bercuti yang kebiasaannya manis-manis belaka. Pengalaman yang ingin Abi kongsi ialah pengamatan Abi tentang realiti kehidupan rakyat Indonesia pasca zaman kemelesetan ekonomi 1998.

Indonesia merdeka lebih awal dari Malaysia dan tidak dinafikan rakyat Tanah Melayu mula berapi bangkit menentang penjajah setelah mendapat inspirasi dari kemerdekaan Indonesia. Ianya merupakan negara kepulauan terbesar dunia. Berdasarkan saiznya yang besar, kepadatan penduduknya yang tinggi dan aset-aset negara yang melimpah ruah, sudah pasti Indonesia sememangnya negara yang amat bertuah. Prospek negara bekenaan tidak keterlaluan jika boleh dibandingkan dengan negara China dan India yang dilihat akan menjadi kuasa dunia dalam masa 50 tahun akan datang. Tetapi realitinya, umum mengetahui Indonesia antara salah sebuah negara yang bermasalah di dunia. Sudahlah ekonominya yang kelihatan begitu sukar sekali pulih dari belenggu kemelesetan semenjak tahun 1998, Indonesia juga sering diuji tuhan dengan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi dan peristiwa tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 rakyatnya.

Dikenang, dinilai dan difikirkan kembali, apakah punca utama masalah yang berlaku? Jawapannya hanya satu iaitu KORUPSI. Ekonomi Indonesia masih stabil sehinggalah berlaku tragedi ekonomi 1998 sehingga presidennya yang dikala itu Bapak Suharto disanjung, digulingkan oleh rakyat terutamanya pelajar melalui medium demonstrasi umum. Dengan keinginan untuk mengetahui dengan lebih mendalam, Abi sempat bertanya rakan yang pernah tinggal di Indonesia saudara Aidil Khalid dan juga saudara Noah iaitu supir yang menjadi pemandu pelancong di sana apakah keadaan sebenar ekonomi Indonesia sebelum dilanda kemelesetan ekonomi 1998. Kenyataan yang diberikan amat mengejutkan! Walaupun dari sudut luarannya dikala itu Indonesia kelihatan stabil mahu diri segi ekonomi dan sebagainya, realitinya amat mendukacitakan. Amalan korupsi dan kronisme amat berleluasa sehinggakan amalan sedemikian sudah dianggap perkara yang amat biasa bagi mereka. Contoh yang paling menarik ialah sehinggakan untuk mengisi kekosongan jawatan di Pejabat Agama Islam pun hendaklah didahului dengan wang sogokan. Contoh lain ialah penerimaan seseorang untuk menjadi laskar (askar) juga mesti disertai dengan wang sogokan.

Soal kronisme juga tidak diambil peduli oleh pihak penguasa dikala itu, Tommy iaitu anak lelaki Presiden Suharto sebagai contoh, beliau diberikan pelbagai kontrak dan jawatan lumayan oleh pihak penguasa hanyalah atas kapasitinya sebagai anak kepada seorang presiden. Salah satunya ialah beliau menjadi pemilik kepada kereta nasional Indonesia iaitu Timor. Timor turut berkubur setelah pimpinan Suharto digulingkan. Tommy sendiri pernah dipenjarakan atas kesalahan yang Abi kurang pasti. Lihatlah betapa rakusnya kerajaan Indonesia dikala itu merompak harta rakyatnya sendiri. Rakyat Indonesia dimabukkan dengan pembangunan dan ekonomi yang dikatakan stabil untuk terus membiarkan perkara itu berlaku.

Kesan dan akibatnya? Rakyat Indonesia menjadi mangsa paling teraniaya. Presiden Suharto telah kembali ke rahmatullah dan Tommy anaknya juga mungkin telah menjalani hukuman penjara tetapi penderitaan rakyat Indonesia masih berkekalan sehingga ke hari ini setelah 11 tahun kemelesetan ekonomi berlaku. Perasaan empati Abi muncul setelah melihat anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan yang penuh sesak dan berdebu tanpa sepatu di kaki. Pemuda-pemuda yang mengetuk cermin kereta untuk menjual barangan untuk sesuap nasi dan juga anak-anak yang masih lagi kecil sanggup berhujan untuk menjual jagung di Taman Safari Indonesia. Semua itu adalah kesan kemeruduman ekonomi Indonesia sejak penggulingan Suharto dan konco-konconya. Indonesia terpaksa meminjam wang dai IMF untuk menyelamatkan ekonomi dan kesan langsung daripada peminjaman tersebut masih dirasai sehingga hari ini. Nilai rupiah terus menerus menjunam. Jika dahulu RM1 = Rp 900 hari ini nilainya serendah RM1= Rp 3000. Tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi jutawan segera di sana berbelanja sakan termasuklah empunya diri ini.

Dalam berbelanja Abi terfikir, betapa tingginya kos hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Indonesia. Menurut Noah, harga bakso sebelum 1998 ialah sekitar Rp 2000 semangkuk. Harganya melonjak naik sehingga Abi terpaksa membayar Rp 12000 hanya untuk semangkuk bakso. Sememangnya jika ditukar nilai, ianya masih murah sekitar RM 4 semangkuk, tetapi bayangkan keperitan rakyat Indonesia, seolah-olah mereka terpaksa membayar RM12 yang pada suatu ketika dulu hanyalah berharga RM2.

Situasi-situasi demikian cukup memberi kesedaran pada Abi tentang betapa bahayanya penangan korupsi dan kronisme. Malaysia tidak terkecuali menghadapi masalah ini. Apakah kita rela dan dengan senang hati membiarkan negara mengalami nasib yang sama dengan Indonesia? Sudah tentu tidak! Indonesia dewasa ini makin pulih dengan kepimpinan Presidesn Bambang Yodhoyono yang dilihat amat berkesan. Korupsi dan 'duit kopi' masih berleluasa disana tetapi sedikit demi sedikit dapat dibendung. Peringatan Abi kepada diri sendiri dan juga kepada semua terutamanya belia, jangan kita biarkan budaya korupsi dan kronisme terus berakar dalam diri. Jika tidak, ianya akan terus hidup sedikit demi sedikit dan akhirnya akan memakan diri. Islam yang syumul amat menegah amalan korupsi yang merugikan ini.

Friday, April 3, 2009

Peralihan Kuasa PM

Malaysia telah menyaksikan satu lagi perkara penting dalam lipatan sejarahnya. Semalam Dato' Seri Najib Tun Razak telah secara rasminya dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke 6. Tugas berat yang diwarisi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dikenali sebagai Pak Lah.

Walaupun dihambat pelbagai permasalahan dalaman, kepimpinan terdahulu Pak Lah perlu diakui telah melakukan sedikit sebanyak perubahan positif di dalam pemerintahannya. Perkara yang paling diingati ialah sikap keterbukaan Pak Lah terhadap media alternatif yang sebelumnya diketahui umum dikekang penyiarannya. Terima kasih Pak Lah atas usahanya itu.

Bermula hari ini, DS Najib akan menjalankan tugasnya secara rasmi buat kali pertama. Harapan utama rakyat ialah DS Najib dapat semula memulihkan ekonomi Malaysia yang merudum dikala ini. Juga diharapkan kestabilan politik dapat dikekalkan disamping terus dengan usaha Pak Lah yang tidak menyekat kebebasan bermedia.

Harapan peribadi Abi, amatlah diharapkan DS Najib dapat mengatasi bayangan isterinya sendiri DS Rosmah Mansor. Memang diketahui ramai terdapat pelbagai seribu satu cerita yang kurang enak di dengar terhadap beliau yang sehingga kini masih lagi diragui kesahihannnya. Tetapi Abi merasakan DS Rosmah perlu menukar gaya perhubungan sosial 'barat'nya agar tidak terus dipandang jelek oleh masyarakat terutamanya orang melayu.

Monday, March 30, 2009

Tun Mahathir b Mohamed

Kehadiran Tun ke majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno menimbulkan seribu satu persoalan. Secara peribadi, kehadiran Tun amat memeranjatkan Abi setelah baharu sahaja komennya berhubung kemenangan Khairy dipaparkan di laman blognya.

Apakah Tun akan kembali ke pangkuan Umno? Walaupun kenyataan terbuka Tun membayangkan beliau hampir pasti menyertai semula Umno, ianya masih meragukan. Kemenangan Khairy selaku ketua pemuda Umno sedikit sebanyak boleh merencatkan hasratnya itu. Jika benar Tun akan kembali, pastinya ia akan memberikan kesan langsung kepada pihak pembangkang kerana sebahagian besar golongan 'atas pagar' yang memilih pembangkang di PRU 12 yang lalu adalah pengikut setia Tun.

Politik tetap politik. Perkara yang mustahil dengan mudah menjadi realiti.

Wednesday, March 25, 2009

Wanita UMNO


Sempat sebentar tadi Abi menonton keputusan pemilihan bagi wanita Umno. Seperti yang dijangka Dato' Seri Shahrizat berjaya menenggelamkan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai ketua baru bagi sayap kiri Umno itu.

Tahniah diucapkan kepada Dato' Seri Shahrizat dan para exco baru yang baru dilantik. Tetapi itu bukan isu yang ingin Abi kongsikan di entri kali ini. Isu yang ingin ditekankan disini ialah gelagat para exco yang baru dipilih memenangi jawatan tersebut. Kelihatannya mereka telah memenangi suatu pertandingan yang menawarkan hadiah RM 1 juta. Terkinja-kinja, terlompat-lompat, bertepuk tangan tidak terkawal dan menyebabkan keadaan hampir tidak terkawal.

Abi tertanya, apakah gembira benar memenangi jawatan yang sudah diketahui mempunyai tanggungjawab yang amat besar?? Tanggungjawab itu hadiahkah? Perkara yang patut dibanggakankah dan dihebahkankah? Tidak salah untuk bergembira memenangi sesebuah jawatan asalkan memadai untuk bersyukur, berterima kasih kepada yang memilih dan seterusnya berazam untuk melaksanakan jawatan tersebut sebaik mungkin.

Bersama kita nantikan keputusan pemilihan Majlis Tertinggi Umno yang lain pula. Harapnya gelagat 'meluat' sedemikian tidak lagi berulang.