Thursday, July 31, 2008

Anwar bertanding di Permatang Pauh


Abi terkejut setelah mendapat berita tentang Dato' Seri Wan Azizah yang telah melepaskan jawatannya selaku ahli parlimen untuk memberi laluan kepada suaminya DSAI bertanding bagi kawasan Permatang Pauh. Walaupun khabar anginpada asalnya telah bertiup kencang sebelum PRU ke 12 sebelum ini yang mengatakan DSAI akan kembali bertanding ke kerusi asalnya (Permatang Pauh), pelbagai spekulasi lain pula timbul dengan meyatakan kemungkinan besar DSAI akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak setelah ahli parlimennya Tan Sri Khalid diberi jawatan selaku menteri besar Selangor yang baru. Tan Sri Khalid dinasihatkan untuk memberi laluan agar dapat menumpukan segala perhatian untuk negeri Selangor yang terkenal dengan kesibukannya dan kontroversinya! Tidak lama kemudian DSAI berura-ura untuk bertanding di kawasan Dato' Seri Rafidah Aziz setelah kemenangan UMNO di kerusi itu dipertikaikan. Keputusan mahkamah menyatakan sebalikknya dengan mengiktiraf kemenangan Dato' Seri Rafidah setelah petisyen yang disediakan pembangkang ditolak. Baru semalam DSAI mengumumkan kemungkinan besar akan bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baru setelah mendapat persetujuan pemimpinan Pakatan Rakyat. Difahamkan ahli parlimen di kawasan itu, saudara Zulkifli Noordin telah menyatakan kesediaannya untuk membenarkan DSAI bertanding di kerusinnya. Tup tup, hari ini lain pula ceritanya. Inilah dia yang dinamakan kerenah politik. Tiada kepastian dalam berpolitik. Pendapat peribadi Abi, tindakan DSAI untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh dilihat tindakan yang bijak lagi saksama. Kawasan itu adalah kawasannya sejak dahulu lagi, sudah tentunya beliau faham benar akan kesengsaraan dan kesulitan yang berlaku dikalangan masyarakat Permatang Pauh. Misinya kepada negar amat besar, tetapi jika ditakdirkan menang disana nanti, tugasnya selaku ahli parlimen bagi kawasan itu tidak sama sekali boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi keputusan ini dilihat bertepatan untuk mengurangkan monopoli keluarga DSAI dalam parlimen barisan pembangkang.

Friday, July 18, 2008

Bahasa jiwa bangsa

Abi berketurunan Melayu, sudah semestinya Abi wajib untuk meningkatkan taraf penggunaan bahasa ibunda ini. Tetapi persoalan bermain di fikiran, bagaimana caranya untuk mendaulatkan bahasa ini sedangkan kebanyakan bangsa Abi sendiri memandang lekeh dengan bahasa Melayu. Justeru Abi bertekad untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan utama untuk blog ini. Bukan sekadar bahasa Melayu biasa, tetapi Abi cuba untuk menggunakan bahasa Melayu formal!. Mungkin bagi rakan-rakan ini suatu perkara yang amat menjanggalkan, begitu juga dengan Abi. Akan tetapi, dengan menggunakan bahasa Melayu formal ini mungkin salah satu usaha Abi untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu dalam diri. Tidak terlintas dalam diri untuk meminggirkan bahasa-bahasa penting lain seperti bahasa Inggeris dan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris ini dalam kehidupan seharian. Cuma bagi Abi, bangsa Melayu sendiri telah meletakkan bahasa Inggeris ini di tempat yang terlalu agung malah melebihi bahasa ibunda sendiri. Sehinggakan sanggup menukar penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Malaysia! Kemana hilangnya maruah kita sebagai bangsa Melayu? Bangsa yang tidak mempunyai bahasa? Ini adalah suatu perkara yang amat menyakitkan. Tidak terlintaskah di pemikiran pemimpin-pemimpin yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris dan merosakkan bahasa Melayu bagaimana perit pejuang-pejuang bahasa Melayu suatu ketika dahulu? Pejuang bahasa seperti pendeta Zaaba telah mempertaruhkan hidupnya untuk mempertabatkan bahasa Melayu di seantero dunia. Begitu juga halnya dengan tulisan. Pernahkah kita terfikir bahawa bahasa Melayu dan mempunyai tulisannya sendiri? Bahasa Cina mempunyai tulisannya yang tersendiri, bahasa Tamil juga mempunyai tulisannya begitu juga bahasa Jepun, Korea, dan lain-lain. Sebenarnya bahasa Melayu juga pernah mempunyai tulisannya yang tersendiri, tulisan Jawi adalah tulisan bagi bahasa Melayu. Jawi itu bermaksud Melayu di dalam bahasa Arab. Mungkin ada diantara kita menyatakan tulisan Jawi itu adalah tulisan Arab. Tidak dinafikan bahawa tulisan Jawi mempunyai pengaruh besar dari tulisan bahasa Arab, tetapi tulisan Jawi mempunyai huruf-hurufnya yang tersendiri dan tidak terdapat di dalam bahasa Arab. Contohnya, huruf nga, pa, ga, va dan lain-lain yang Abi mengakui sendiri tidak dapat mengingatinya. Abi sering terfikir di mana silapnya tulisan Jawi ini sehinggakan ia dihindarkan begitu sahaja oleh orang-orang yang diangkat pemimpin pada tahun 1970-an. Jika tidak silap, menteri pelajaran Malaysia ketika itu Tan Sri Khir Johari ialah orang bertanggungjawab menukar tulisan Jawi ke tulisan Rumi sepenuhnya. Sehinggakan pelajaran pendidikan Islam pun ditukar ke tulisan Rumi. Bermulalah era kepupusan tulisan Jawi di dalam masyarakat Melayu. Justeru Abi berazam untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu disamping untuk terus mendalami tulisan Jawi. Bagi memantapkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, mungkin juga ada entri yang akan Abi diselitkan di dalam bahasa itu. Maklumlah bahasa Inggeris sudah seperti suatu kewajipan dewasa ini untuk menguasainya, jika tidak akan digelakkan oleh rakan-rakan sekolah dan sekuliah! Apa pun Abi tekad, bahasa Melayu akan tetap diperjuangkan sehingga martabatnya kembali dipulihkan.

Thursday, July 17, 2008

Salam perkenalan

Assalamualaikum buat semua. Abi rasa sudah sampai masanya untuk Abi menyertai alam blog ini. Terima kasih Abi ucapkan pada rakan sekuliah saudara Aidil b Khalid yang terus menerus dengan tidak jemu meyakinkan Abi untuk menulis. Mungkin dengan lahirnya blog abi ini, Abi boleh meyuarakan pendapat Abi dalam apa jua perkara sekalipun. Untuk pengetahuan semua, Abi telah menangguhkan usaha untuk menghasilkan blog ini setelah sekelian lama atas alasan Abi masih sangsi apakah subjek sebaiknya untuk digunakan dalam blog abi ini. Tetapi setelah difikirkan, tidak perlu untuk Abi membataskan tujuan menulis ini hanya untuk perkara-perkara tertentu seperti politik dan sebagainya. Abi akan menggunakan blog ini sebagai wadah untuk menzahirkan apa yang tersirat dalam pemikiran Abi dalam apa jua perkara sekalipun. Mungkin Abi lebih berminat dalam bidang politik, justeru mungkin blog ini juga akan banyak digunakan Abi untuk menyatakan pendapat dalam dunia politik. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, rasanya dengan cara berblog ini Abi merasakan pandangan Abi boleh dikongsi bersama rakan-rakan dimana sahaja. Salam perkenalan Abi ucapkan untuk semua!