Monday, July 6, 2009

Episod Duka Lara

Sedari kecil, memang sudah menjadi kebiasaan dalam hidup Abi untuk terlampau menyayangi sesuatu yang pada zahirnya kelihatan amat remeh. Sebagai contoh, alat tulis yang diberi oleh mak atau abah semasa di sekolah rendah Abi akan menjaganya seperti emas! Abi sedih yang teramat jika habuk pensel yang diasah dibuang begitu sahaja di dalam bakul sampah di dalam kelas sebaliknya Abi lebih rela membuang habuk tersebut di dalam beg untuk dibuang di rumah.

Bagi Abi, setiap barang itu ada nilainya yang tersendiri dan mereka amat berjasa bagi Abi. Tidak bermaksud Abi lokek atau kedekut untuk berkongsi sesuatu tetapi Abi akan sedaya upaya menjaganya seperti barang yang bernyawa. Sifat tersebut masih kuat dalam diri. Jika Abi menyayangi sesuatu, sudah pasti akan menjaganya sebaik mungkin. Tidak kiralah apa jua barangan sekalipun, yang penting Abi akan menghormati barangan itu seolah-olah ianya bernyawa. Sehinggakan sudah menjadi rutin beromongan dengan motorsikal kesayangan Abi yang bernama 'Weq'.

Tetapi sifat tersebut seolah-olah sudah memakan diri Abi baru-baru ini. Abi langsung tidak dapat menerima realiti yang hakikatnya Abi telah kehilangan dua orang yang Abi terlalu sayang dalam hidup ini. Perasaan ingin kembali mendapatkan kasih sayang mereka masih membuak-buak menendang jiwa sehinggakan hampir gila dibuatnya. Jika selama ini diri merasakan sudah bersedia menghadapi segalanya, ianya ternyata tidak benar sama sekali. Sesekali terfikir apa yang dilalui sepanjang sebulan lalu terasa betapa kerdilnya Abi di sisi Illahi. Dia sudah begitu lama memberikan Abi ketenangan dan kegembiraan dalam hidup sehinggakan Abi tidak menyedari diri semakin lama semakin jauh denganNya.

Ternyata tuhan masih memberikan ruang dan peluang kepada Abi untuk berubah. Dugaan yang amat berat yang diujiNya amat membuatkan Abi tersentak dari lamunan selama ini. Orang yang disayangi hilang dengan sekelip mata diambilNya. Secara jujur, selama ini Abi tidak pernah mengalami pengalaman kehilangan orang yang tersayang. Sebulan lalu, kesemua kaun keluarga termasuk datuk-datuk dan nenek-nenek Abi masih ada di muka bumi ini. Masih lagi dapat Abi rasakan kasih sayang daripada mereka tetapi takdir tuhan menentukan segala-galanya. Salah seorang nenek Abi pergi menyahut seruan Illahi pada tanggal 7 Mei 2009. Segalanya berubah, dari satu ke satu masalah yang tidak pernah Abi terfikir untuk terjadi timbul. Betul- betul hampir gila dibuatnya!

Baru-baru ini, perasaan Abi kuat mengatakan yang emak merahsiakan sesuatu perkara. Sememangnya sudah menjadi lumrah ibu untuk tidak terus membebankan hati anaknya yang sedia terbeban. Akhirnya, ketahui juga Abi bahawa buah pinggang salah seorang datuk Abi rosak dan memerlukan bantuan mesin untuk sepanjang hidupnya! Subhanallah....berat sungguh dugaan tuhan yang bertimpa-timpa ini. Abi tertanya-tanya, mampukah Abi melaluinya sekali lagi sedangkan masalah yang lama masih kuat bersarang dalam hati dan dalam masa yang sama Abi terpaksa bergelut untuk memulakan program professional LLB yang diketahui umum rumitnya?

Setiap hari Abi termenung dan bertanya diri apa yang patut dilakukan? Keluarga dan rakan-rakan telah memberikan segalanya untuk Abi kembali memotivasikan diri. Direnung, difikir-fikirkan, tiada orang lain yang mampu untuk mengeluarkan Abi dari belenggu diri melainkan Abi sendiri. Jika ada kemahuan yang jitu, Abi pasti mampu untuk melaksanakannya. Dengan demikian bermulalah suatu era baru dalam hidup yang diharap dapat membaiki kelemahan diri. Masalah tetap menjadi masalah jika kita memandangnya sebagai suatu masalah. Ianya akan berubah menjadi penyelesaian jika kita menganggapnya sebagai suatu cabaran. Abi berdoa kehadrat Illahi agar diberikan segala kekuatan untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Kepada Allah jua lah Abi bermohon agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan dapat memberikan kesihatan terbaik kepada nenek dan datuk disamping Abi dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ilmu yang bakal dicurahkan. Insyaalah..

3 comments:

permata said...

salam. bile souffy nak buat gathering?

Azhar Ibrahim said...

Tabahkan diri Abi!

Tinta Ibn Awwal said...

Permata..

Insyaallah akan diusahakan. Sudah dirancang bersama Chan dan rakan-rakan.

A

Insyaallah A. Ketabahan memerlukan pengorbanan yang amat tinggi. Aku berusaha meningkatkan kesabaran aku sampai peringkat tertinggi!