Friday, July 18, 2008

Bahasa jiwa bangsa

Abi berketurunan Melayu, sudah semestinya Abi wajib untuk meningkatkan taraf penggunaan bahasa ibunda ini. Tetapi persoalan bermain di fikiran, bagaimana caranya untuk mendaulatkan bahasa ini sedangkan kebanyakan bangsa Abi sendiri memandang lekeh dengan bahasa Melayu. Justeru Abi bertekad untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan utama untuk blog ini. Bukan sekadar bahasa Melayu biasa, tetapi Abi cuba untuk menggunakan bahasa Melayu formal!. Mungkin bagi rakan-rakan ini suatu perkara yang amat menjanggalkan, begitu juga dengan Abi. Akan tetapi, dengan menggunakan bahasa Melayu formal ini mungkin salah satu usaha Abi untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu dalam diri. Tidak terlintas dalam diri untuk meminggirkan bahasa-bahasa penting lain seperti bahasa Inggeris dan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris ini dalam kehidupan seharian. Cuma bagi Abi, bangsa Melayu sendiri telah meletakkan bahasa Inggeris ini di tempat yang terlalu agung malah melebihi bahasa ibunda sendiri. Sehinggakan sanggup menukar penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Malaysia! Kemana hilangnya maruah kita sebagai bangsa Melayu? Bangsa yang tidak mempunyai bahasa? Ini adalah suatu perkara yang amat menyakitkan. Tidak terlintaskah di pemikiran pemimpin-pemimpin yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris dan merosakkan bahasa Melayu bagaimana perit pejuang-pejuang bahasa Melayu suatu ketika dahulu? Pejuang bahasa seperti pendeta Zaaba telah mempertaruhkan hidupnya untuk mempertabatkan bahasa Melayu di seantero dunia. Begitu juga halnya dengan tulisan. Pernahkah kita terfikir bahawa bahasa Melayu dan mempunyai tulisannya sendiri? Bahasa Cina mempunyai tulisannya yang tersendiri, bahasa Tamil juga mempunyai tulisannya begitu juga bahasa Jepun, Korea, dan lain-lain. Sebenarnya bahasa Melayu juga pernah mempunyai tulisannya yang tersendiri, tulisan Jawi adalah tulisan bagi bahasa Melayu. Jawi itu bermaksud Melayu di dalam bahasa Arab. Mungkin ada diantara kita menyatakan tulisan Jawi itu adalah tulisan Arab. Tidak dinafikan bahawa tulisan Jawi mempunyai pengaruh besar dari tulisan bahasa Arab, tetapi tulisan Jawi mempunyai huruf-hurufnya yang tersendiri dan tidak terdapat di dalam bahasa Arab. Contohnya, huruf nga, pa, ga, va dan lain-lain yang Abi mengakui sendiri tidak dapat mengingatinya. Abi sering terfikir di mana silapnya tulisan Jawi ini sehinggakan ia dihindarkan begitu sahaja oleh orang-orang yang diangkat pemimpin pada tahun 1970-an. Jika tidak silap, menteri pelajaran Malaysia ketika itu Tan Sri Khir Johari ialah orang bertanggungjawab menukar tulisan Jawi ke tulisan Rumi sepenuhnya. Sehinggakan pelajaran pendidikan Islam pun ditukar ke tulisan Rumi. Bermulalah era kepupusan tulisan Jawi di dalam masyarakat Melayu. Justeru Abi berazam untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu disamping untuk terus mendalami tulisan Jawi. Bagi memantapkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, mungkin juga ada entri yang akan Abi diselitkan di dalam bahasa itu. Maklumlah bahasa Inggeris sudah seperti suatu kewajipan dewasa ini untuk menguasainya, jika tidak akan digelakkan oleh rakan-rakan sekolah dan sekuliah! Apa pun Abi tekad, bahasa Melayu akan tetap diperjuangkan sehingga martabatnya kembali dipulihkan.

4 comments:

Anonymous said...

Tuhan telah menyatakan di dalam surah Al Hujurat ayat 13, bahawa manusia dijadikan pelbagai bangsa untuk saling berkenal-kenalan.

Selaku manusia yang telah ditakdirkan lahir sebagai Melayu, makanya menjadi tanggung jawab kitalah bagi mendaulatkan bahasa Melayu. Sebelum berkenal-kenalan dengan bangsa lain -- seperti yang terkandung dalam firman Tuhan -- tentunya kita perlu terlebih dahulu mengenali bangsa sendiri.

Bahasa jiwa bangsa!

Qalam Insan said...

tulisan jawi tak patut dibuang begitu sahaja...siam pun ada tulisan nya sendiri..kenapa melayu tak ada tulisannya..
lagi kesian ada budak2 sebaya kita tak tahu membaca tulisan arab pun..kalau tak tahu membaca tulisan arab..maksudnya tak tahu membaca Al-Quran...
haha...
kesian orang2 melayu akan datang..kalau tak berubah,dah lah didunia diperlekeh orang kafir..nanti diakhirat pun duduk terbakar bersama orang2 kafir laknat...

Tinta Ibn Awwal said...

Aidil..

Bersama mendaulatkan bahasa sehingga ke akhir hayat.

Skinhead..

Marilah kita sebagai generasi baru Malaysia kembali menghidupkan kembali tulisan melayu ini bersama-sama.

Anonymous said...

so sorry, i was born in kota london..hu6