Thursday, October 2, 2008

Salam Aidilfitri


Dikesempatan ini ingin Abi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kemaafan dipohon kepada semua sama ada langsung atau tidak disengajakan. Aidilfitri bagi Abi adalah suatu perayaan yang wajib dirayakan walau banyak kedengaran dikalangan rakan Aidilfitri seakan tidak lagi memberi kesan kepada mereka apabila diri menjengah dewasa. Khabarnya hari raya hanya meriah di zaman kanak-kanak sahaja.

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
Orang yang berpuasa mendapatkan dua kegembiraan, yaitu ketika berbuka puasa(juga bermaksud ketika menyambut aidilfitri) dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Tuhannya.

Kegembiraan dan kemeriahan juga kegirangan di pagi Aidilfitri adalah antara saat yang paling di tunggu-tunggu saban tahun! Hidangan Aidilfitri senantiasa diimpikan! Semoga semangat merayakan hari kebesaran umat Islam ini sentiasa disemai agar kemeriahannya masih dirasai walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Wednesday, September 24, 2008

Dugaan menjerihkan tatkala Ramadhan

Tanggal 23 September 2008 bersamaan 23 Ramadhan 1429 akan Abi sematkan sebagai salah sebuah tarikh unggul yang akan dikenang sepanjang zaman.

Kisah pertama

Kejadian yang disifatkan sebagai amat menjerihkan terjadi pada tarikh tersebut. Budaya menurunkan tandatangan bagi mengesahkan kehadiran untuk pihak rakan-rakan telah menjadi budaya yang amat popular di dalam kehidupan mahasiswa mana-mana institut pengajian tinggi yang wujud di Malaysia ini. Hendak dijadikan cerita, tatkala kusyuk belajar di dalam kelas Family Law 1, Abi pun telah melakukan perkara yang sama setelah mendapat SMS seorang rakan yang tidak dapat menghadirkan diri ke kelas atas sebab-sebab tertentu. Dengan tiada sekelumit pun rasa serba salah dan rela hati terus melakukannya. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya, Abi terpaksa mengakui kesalahan tersebut di akhir kelas setelah pensyarah dapat mengesan dengan hebat ketidakhadiran rakan tadi. Seingat Abi lebih dari sepuluh kali perkataan 'I'm so sorry maam!' ikhlas dikeluarkan dari sanubari terus ke mulut dan terus ke pendengaran pensyarah tersebut. Tetapi tidak satu pun dilayan! Berbekalkan perasaan kecewa dan malu Abi terus menerus meminta maaf dan akhirnya ayat keramat berbunyi 'ok, I've forgiven you, but your act still will be considered as wrong and has totally breached the rule!'. Lega..walaupun pensyarah tersebut mengucapkan ayat tersebut tanpa memandang langsung ke arah Abi, tetapi ayat kemaafannya sudah memadai.

Kisah kedua

Sedang enak menghirup sup ekor di salah sebuah restoran mamak yang terkenal di Shah Alam, hati Abi digegarkan sekali lagi dengan kiriman SMS dari Aidil Khalid yang berbunyi 'weh apsal ko tak highlite assignment yang ko da buat?'. Pada malam sebelumnya Abi telah menyiapkan sebahagian daripada kerja kursus subjek Jurisprudence yang memerlukan konsentrasi penuh untuk menyiapkannya dan telah meng'e-mail'kannya kepada Aidil. Dengan sepantas kilat terus meniliti kembali dan memeriksa samaada Abi telah menyimpan fail yang sudah disiapkan atau tidak. Ditakdirkan Allah, sekali lagi malang menimpa, kerja kursus yang telah disiapkan hilang atau dengan kata mudah tidak disimpan! Kecewa, hampa, marah, bercampur baur menendang perasaan diri sendiri. Apa lagi? Kerja yang telah disiapkan perlu dibuat semula 100 peratus!

Kesimpulan..

Abi menerima dugaan tersebuat dengan hati yang rela dan terbuka walau pada awalnya rasa seperti ingin memberontak. Difikirkan sejenak, mungkin dugaan ini telah memadamkan dosa-dosa kecil yang telah Abi lakukan selama ini. Justeru kehidupan perlu terus dijalankan seperti biasa dan segala pengalaman perlu di ambil sebagai pengajaran.

Untuk kisah yang pertama, Abi sama sekali tidak pernah menyalahkan rakan tersebut! Kesalahan tersebut kesalahan bersama dan perlu ditanggung dengan penuh perasaan tanggungjawab bersama.

Kisah yang kedua pula mengajar Abi betapa mudah untuk kita kehilangan sesuatu yang amat kita hargai. Oleh itu, beringatlah dan berwaspadalah pada setiap ketika. Sifat cuai perlu dilupuskan sama sekali di dalam setiap insan yang hidup di dunia yang fana ini.

Friday, September 12, 2008

ISA..ISA..




Apakah mungkin tekanan perkauman di Malaysia tiada kesudahannya? Secara rasionalnya masyarakat Cina di Malaysia akan mempersoalkan tentang penahanan terutamanya wartawan Sin Chew Post, Tan Hoon Cheng sedangkan Dato' Ahmad Ismail selaku individu yang dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hanya digantung keahliannya di dalam UMNO. Apakah reaksi spontan yang akan dikeluarkan parti-parti komponen barisan nasional seperti MCA dan GERAKAN? Begitu juga halnya dengan penahanan Teresa Kok atas alasan yang Abi sendiri pada dasarnya amat bersetuju. Beliau dituduh cuba memainkan sentimen perkauman dengan mengarahkan azan supaya di perlahankan di beberapa masjid. Tiga hari lalu, Abi diberitahu oleh rakan sekuliah Abd Rahim tentang perkara ini lantas dengan hati yang agak membara mencari kenyataan sebenar yang dikeluarkan oleh Teresa Kok di blog beliau. Kenyataannya kelihatan meyakinkan menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan. Lihat disini. Nah, semalam beliau ditahan di bawah akta ISA. Ingin ditekankan di sini ialah ISA tetap kekal dipandang sebuah undung-undang yang tidak bertamadun. Seseorang akan ditahan selama 60 hari tanpa bicara dan tidak diberi layanan untuk bertemu sesiapa di dalam tempoh itu. Tan Hoon Cheng dan Teresa Kok mungkin bersalah tetapi mereka tidak seharusnya diketepikan hak untuk mempertahankan diri dari segi undang-undang. Abi pada hakikatnya bersetuju mereka di tahan untuk disoal siasat, tetapi hendaklah di bawah undang-undang sedia ada melalui prosedur tertentu dengan membolehkan mereka diberi hak untuk membela diri.

Sunday, September 7, 2008

Maaf!

Ada apa dengan perkataan maaf? Begitu keramatkah perkataan ini? Adakah ia perkataan yang begitu sulit untuk diungkapkan? Benarkah perkataan ini mampu untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti seseorang? Sudah tentu ramai yang telah sedia maklum apa yang berlaku di Permatang Pauh baru-baru ini. Perkara yang menyedihkan sehingga kembali memanaskan bahang perkauman di Malaysia ini. Jika di fikirkan sejenak, Malaysia tidak pernah sunyi dengan tuduhan-tuduhan perkauman yang boleh memudaratkan ini dan lebih menarik jika kesalahan itu sudah terang lagi bersuluh, si pelaku masih berliat dan berdegil untuk mengaku kesalahan. Seolah-olah mereka mahu bergelar 'champion' kepada bangsa masing-masing. Sekadar pendapat peribadi, Abi tegas menyatakan bahawa ucapan yang diucapkan di Permatang Pauh itu tidak dipersetujui sama sekali. Benar, bangsa Melayu merupakan pemilik asal kepada tanah bertuah ini, tetapi ia tidak bermakna bangsa selain Melayu boleh digelar 'pendatang'. Bumiputera berhak mendapat keistimewaan tertentu seperti mana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh di pertikaikan sama sekali. Para pemimpin setiap bangsa terdahulu telah sebulat suara menyetujui dan mengiktiraf tentang perkara itu melalui Kontrak Sosial yang ditandatangani mereka. Tetapi itu tidak bermakna bangsa selain Melayu boleh dianaktirikan. Merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, hak semua bangsa telah dijamin sama rata tanpa sebarang diskriminasi. Abi tidak pernah lupa akan bangsa sendiri, bahkan amat berbangga dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu beragama Islam. Apa yang ingin ditekankan disini ialah sebagai bangsa Melayu juga warganegara sah Malaysia, tidak mungkin Abi dapat menafikan akan hak bangsa lain juga sebagai warganegara Malaysia yang sah. Perlu diingat, dahulu tanah ini gah dikenali sebagai Tanah Melayu tetapi sejarah tetap tinggal sejarah. Tanah Melayu sudah berkubur dan tanah ini dikenali sudah sebagai Malaysia. Dengan demikian walaupun pahit, Abi sebagai bangsa Melayu perlu dengan rela hati dan penuh toleransi perlu menerima bangsa lain sebagai warganegara sah Malaysia. Hakikat perit ini lebih-lebih lagi ditambah dengan kemajuan bangsa lain jika dibandingkan dengan bangsa asal tanah ini. Cukai yang dibayar golongan korporat bangsa bukan Melayu ini jauh lebih tinggi jika dibuat perbandingan. Sememangnya mereka warganegara sah yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Istilah 'pendatang' mungkin relevan jika Malaysia pada hari ini masih bergelar Tanah Melayu. Tetapi apakan daya? Tanah Melayu sudah bergelar Malaysia. Tidak dapat tidak, hak warganegara bangsa selain Melayu perlu diakui. Hakikat bahawa tanah ini dikongsi perlu ditelan jua oleh bangsa Melayu walaupun ianya amat perit. Cuma Abi sekali lagi dengan tegas menyatakan pendirian selaku bangsa asal yang menduduki tanah bertuah ini, hak-hak keistimewaan bumiputera tidak boleh sama sekali dipersoal walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Pepatah ada menyebut, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata membawa mati'. Ingin Abi mengolah sedikit pepatah ini agar bersesuaian dengan entri ini, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata wajib bagi kita meminta maaf'.

Friday, August 29, 2008

DSAI ke parlimen: Impak dan kesannya kepada Malaysia

Kemenangan DSAI di Permatang Pauh baru-baru ini banyak melontarkan persoalan kepada rakyat Malaysia secara umumnya dan Abi sendiri secara khususnya. Antaranya ialah mampukah DSAI dapat merealisasikan impiannya untuk memimpin kerajaan baru menjelang 16 September ini seperti yang direncanakannya? Selain itu, rakyat Malaysia sekali lagi diberi peluang untuk melihat sejauh mana kehebatan insan bernama Anwar bin Ibrahim ini dapat meningkatkan moral para ahli pembangkang di parlimen untuk terus menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Pendapat Abi secara peribadi, ini adalah peluang yang terbaik bagi Malaysia semenjak merdeka untuk membuktikan kepada dunia akan demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah tulen kerana majoriti kerajaan dan pembangkang hampir setara. Ini secara langsung dapat menjadikan parlimen di Malaysia lebih hangat dengan isu-isu yang dapat memberikan kelebihan kepada rakyat. Cukuplah dengan retorik politik murahan yang sering dimainkan kebanyakan ahli politik kebelakangan ini. Kepada pihak kerajaan mereka perlu buktikan bahawa walaupun dengan kehadiran ikon pembangkang ini, mereka tidak sesekali gentar dan masih dapat melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan penuh saksama. Bagi pihak pembangkang pula mereka perlu untuk terus bangkit dengan lebih gah setelah disuntik dengan kehadiran DSAI ke parlimen untuk terus menerus menegur dan memperbetulkan kesilapan yang mungkin dilakukan oleh pihak pemerintah. Jika teori ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, Abi yakin bahawa Malaysia akan terus maju dan lebih dihormati dunia, insyaalah.

Sunday, August 3, 2008

I'm a rugby player!


'I'm a rugby player!', itulah ungkapan yang telah Abi gunakan di program perkenalan semasa minggu pertama menjejakkkan kaki ke alam universiti di UiTM Kedah beberapa tahun lepas. Abi menggunakan ungkapan itu bertujuan untuk membuktikan kepada rakan-rakan sekuliah bahawa melalui sukan kita dapat bersosial dengan baik. Diwaktu itu, pelajar program Pra Ijazah Undang-undang terkenal dengan sikap tidak mempeduli hal pelajar lain selain dari rakan sekuliah. Bagi Abi hal sedemikian tidak boleh dibiarkan dan akibatnya telah terbukti pelajar undang-undang tidak disenangi oleh pelajar program-program lain. Ungkapan keramat inilah juga Abi sering diusik oleh rakan-rakan sekuliah sehingga ke hari ini!. Tujuan sebenar entri ini adalah untuk mengumumkan bahawa hari ini merupakan antara hari terpenting bagi Abi semenjak melibatkan diri dalam sukan ini. Pasukan ragbi fakulti undang-undang telah berjaya mendapat tempat ke 4 dalam pertandingan sukan antara fakulti (SAF). Pencapaian ini amat membanggakan lebih-lebih lagi pertandingan ini disertai 25 fakulti UiTM! Dengan kejayaan ini juga Abi juga telah membuat keputusan drastik untuk mengundurkan diri terus dari sukan ini. Cukuplah sekadar sesingkat 4 tahun berhempas pulas untuk membuktikan kepada keluarga bahawa Abi bukan sekadar 'budak bola'. Abi juga berpengalaman bermain sukan terlasak di dunia ini. Sukan ragbi sudah dianggap sukan 'wajib' bagi kesemua anak lelaki Hj Awal. Walaupun pencapaian amat rendah jika dibandingkan dengan abang dan adik, Abi tetap berbangga. Terima kasih diucapkan kepada rakan sepermainan dan sekuliah Fakharuddin (Chemax) dan Ikram (Cheqa) sebagai orang yang bertanggungjawab menyakinkan Abi bermain sukan ini. Dengan perasan bangga Abi umumkan kepada dunia, 'I'm no longer a rugby player!'.

Thursday, July 31, 2008

Anwar bertanding di Permatang Pauh


Abi terkejut setelah mendapat berita tentang Dato' Seri Wan Azizah yang telah melepaskan jawatannya selaku ahli parlimen untuk memberi laluan kepada suaminya DSAI bertanding bagi kawasan Permatang Pauh. Walaupun khabar anginpada asalnya telah bertiup kencang sebelum PRU ke 12 sebelum ini yang mengatakan DSAI akan kembali bertanding ke kerusi asalnya (Permatang Pauh), pelbagai spekulasi lain pula timbul dengan meyatakan kemungkinan besar DSAI akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak setelah ahli parlimennya Tan Sri Khalid diberi jawatan selaku menteri besar Selangor yang baru. Tan Sri Khalid dinasihatkan untuk memberi laluan agar dapat menumpukan segala perhatian untuk negeri Selangor yang terkenal dengan kesibukannya dan kontroversinya! Tidak lama kemudian DSAI berura-ura untuk bertanding di kawasan Dato' Seri Rafidah Aziz setelah kemenangan UMNO di kerusi itu dipertikaikan. Keputusan mahkamah menyatakan sebalikknya dengan mengiktiraf kemenangan Dato' Seri Rafidah setelah petisyen yang disediakan pembangkang ditolak. Baru semalam DSAI mengumumkan kemungkinan besar akan bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baru setelah mendapat persetujuan pemimpinan Pakatan Rakyat. Difahamkan ahli parlimen di kawasan itu, saudara Zulkifli Noordin telah menyatakan kesediaannya untuk membenarkan DSAI bertanding di kerusinnya. Tup tup, hari ini lain pula ceritanya. Inilah dia yang dinamakan kerenah politik. Tiada kepastian dalam berpolitik. Pendapat peribadi Abi, tindakan DSAI untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh dilihat tindakan yang bijak lagi saksama. Kawasan itu adalah kawasannya sejak dahulu lagi, sudah tentunya beliau faham benar akan kesengsaraan dan kesulitan yang berlaku dikalangan masyarakat Permatang Pauh. Misinya kepada negar amat besar, tetapi jika ditakdirkan menang disana nanti, tugasnya selaku ahli parlimen bagi kawasan itu tidak sama sekali boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi keputusan ini dilihat bertepatan untuk mengurangkan monopoli keluarga DSAI dalam parlimen barisan pembangkang.