Friday, July 10, 2009

Episod Duka Lara 2

Hari ini dugaan tuhan sekali terpaksa dihadapi. Lagi objek yang Abi sayang sangat terlepas dari genggaman. Telefon bimbit Abi tercicir dan hilang. Ya Allah..aku redha dan berserah kepadaMu. Sesungguhnya insanMu yang lemah ini sangat memerlukan bantuanMu di saat aku baru sahaja mendapat semangat baru. Tunjukkanlah aku jalan dan jangan Kau biarkan aku terus dalam keadaan putus asa. Kaulah tuhan yang maha mengasihani.

Monday, July 6, 2009

Episod Duka Lara

Sedari kecil, memang sudah menjadi kebiasaan dalam hidup Abi untuk terlampau menyayangi sesuatu yang pada zahirnya kelihatan amat remeh. Sebagai contoh, alat tulis yang diberi oleh mak atau abah semasa di sekolah rendah Abi akan menjaganya seperti emas! Abi sedih yang teramat jika habuk pensel yang diasah dibuang begitu sahaja di dalam bakul sampah di dalam kelas sebaliknya Abi lebih rela membuang habuk tersebut di dalam beg untuk dibuang di rumah.

Bagi Abi, setiap barang itu ada nilainya yang tersendiri dan mereka amat berjasa bagi Abi. Tidak bermaksud Abi lokek atau kedekut untuk berkongsi sesuatu tetapi Abi akan sedaya upaya menjaganya seperti barang yang bernyawa. Sifat tersebut masih kuat dalam diri. Jika Abi menyayangi sesuatu, sudah pasti akan menjaganya sebaik mungkin. Tidak kiralah apa jua barangan sekalipun, yang penting Abi akan menghormati barangan itu seolah-olah ianya bernyawa. Sehinggakan sudah menjadi rutin beromongan dengan motorsikal kesayangan Abi yang bernama 'Weq'.

Tetapi sifat tersebut seolah-olah sudah memakan diri Abi baru-baru ini. Abi langsung tidak dapat menerima realiti yang hakikatnya Abi telah kehilangan dua orang yang Abi terlalu sayang dalam hidup ini. Perasaan ingin kembali mendapatkan kasih sayang mereka masih membuak-buak menendang jiwa sehinggakan hampir gila dibuatnya. Jika selama ini diri merasakan sudah bersedia menghadapi segalanya, ianya ternyata tidak benar sama sekali. Sesekali terfikir apa yang dilalui sepanjang sebulan lalu terasa betapa kerdilnya Abi di sisi Illahi. Dia sudah begitu lama memberikan Abi ketenangan dan kegembiraan dalam hidup sehinggakan Abi tidak menyedari diri semakin lama semakin jauh denganNya.

Ternyata tuhan masih memberikan ruang dan peluang kepada Abi untuk berubah. Dugaan yang amat berat yang diujiNya amat membuatkan Abi tersentak dari lamunan selama ini. Orang yang disayangi hilang dengan sekelip mata diambilNya. Secara jujur, selama ini Abi tidak pernah mengalami pengalaman kehilangan orang yang tersayang. Sebulan lalu, kesemua kaun keluarga termasuk datuk-datuk dan nenek-nenek Abi masih ada di muka bumi ini. Masih lagi dapat Abi rasakan kasih sayang daripada mereka tetapi takdir tuhan menentukan segala-galanya. Salah seorang nenek Abi pergi menyahut seruan Illahi pada tanggal 7 Mei 2009. Segalanya berubah, dari satu ke satu masalah yang tidak pernah Abi terfikir untuk terjadi timbul. Betul- betul hampir gila dibuatnya!

Baru-baru ini, perasaan Abi kuat mengatakan yang emak merahsiakan sesuatu perkara. Sememangnya sudah menjadi lumrah ibu untuk tidak terus membebankan hati anaknya yang sedia terbeban. Akhirnya, ketahui juga Abi bahawa buah pinggang salah seorang datuk Abi rosak dan memerlukan bantuan mesin untuk sepanjang hidupnya! Subhanallah....berat sungguh dugaan tuhan yang bertimpa-timpa ini. Abi tertanya-tanya, mampukah Abi melaluinya sekali lagi sedangkan masalah yang lama masih kuat bersarang dalam hati dan dalam masa yang sama Abi terpaksa bergelut untuk memulakan program professional LLB yang diketahui umum rumitnya?

Setiap hari Abi termenung dan bertanya diri apa yang patut dilakukan? Keluarga dan rakan-rakan telah memberikan segalanya untuk Abi kembali memotivasikan diri. Direnung, difikir-fikirkan, tiada orang lain yang mampu untuk mengeluarkan Abi dari belenggu diri melainkan Abi sendiri. Jika ada kemahuan yang jitu, Abi pasti mampu untuk melaksanakannya. Dengan demikian bermulalah suatu era baru dalam hidup yang diharap dapat membaiki kelemahan diri. Masalah tetap menjadi masalah jika kita memandangnya sebagai suatu masalah. Ianya akan berubah menjadi penyelesaian jika kita menganggapnya sebagai suatu cabaran. Abi berdoa kehadrat Illahi agar diberikan segala kekuatan untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Kepada Allah jua lah Abi bermohon agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan dapat memberikan kesihatan terbaik kepada nenek dan datuk disamping Abi dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ilmu yang bakal dicurahkan. Insyaalah..

Tuesday, June 2, 2009

Cerita dari seberang

Seminggu yang lalu Abi baru kembali dari kota Bandung. Seperti biasa, bila bercuti pasti ada pengalaman menarik yang mahu dikongsi. Pengalaman ini mungkin berlainan sedikit dari cerita-cerita biasa orang bercuti yang kebiasaannya manis-manis belaka. Pengalaman yang ingin Abi kongsi ialah pengamatan Abi tentang realiti kehidupan rakyat Indonesia pasca zaman kemelesetan ekonomi 1998.

Indonesia merdeka lebih awal dari Malaysia dan tidak dinafikan rakyat Tanah Melayu mula berapi bangkit menentang penjajah setelah mendapat inspirasi dari kemerdekaan Indonesia. Ianya merupakan negara kepulauan terbesar dunia. Berdasarkan saiznya yang besar, kepadatan penduduknya yang tinggi dan aset-aset negara yang melimpah ruah, sudah pasti Indonesia sememangnya negara yang amat bertuah. Prospek negara bekenaan tidak keterlaluan jika boleh dibandingkan dengan negara China dan India yang dilihat akan menjadi kuasa dunia dalam masa 50 tahun akan datang. Tetapi realitinya, umum mengetahui Indonesia antara salah sebuah negara yang bermasalah di dunia. Sudahlah ekonominya yang kelihatan begitu sukar sekali pulih dari belenggu kemelesetan semenjak tahun 1998, Indonesia juga sering diuji tuhan dengan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi dan peristiwa tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 rakyatnya.

Dikenang, dinilai dan difikirkan kembali, apakah punca utama masalah yang berlaku? Jawapannya hanya satu iaitu KORUPSI. Ekonomi Indonesia masih stabil sehinggalah berlaku tragedi ekonomi 1998 sehingga presidennya yang dikala itu Bapak Suharto disanjung, digulingkan oleh rakyat terutamanya pelajar melalui medium demonstrasi umum. Dengan keinginan untuk mengetahui dengan lebih mendalam, Abi sempat bertanya rakan yang pernah tinggal di Indonesia saudara Aidil Khalid dan juga saudara Noah iaitu supir yang menjadi pemandu pelancong di sana apakah keadaan sebenar ekonomi Indonesia sebelum dilanda kemelesetan ekonomi 1998. Kenyataan yang diberikan amat mengejutkan! Walaupun dari sudut luarannya dikala itu Indonesia kelihatan stabil mahu diri segi ekonomi dan sebagainya, realitinya amat mendukacitakan. Amalan korupsi dan kronisme amat berleluasa sehinggakan amalan sedemikian sudah dianggap perkara yang amat biasa bagi mereka. Contoh yang paling menarik ialah sehinggakan untuk mengisi kekosongan jawatan di Pejabat Agama Islam pun hendaklah didahului dengan wang sogokan. Contoh lain ialah penerimaan seseorang untuk menjadi laskar (askar) juga mesti disertai dengan wang sogokan.

Soal kronisme juga tidak diambil peduli oleh pihak penguasa dikala itu, Tommy iaitu anak lelaki Presiden Suharto sebagai contoh, beliau diberikan pelbagai kontrak dan jawatan lumayan oleh pihak penguasa hanyalah atas kapasitinya sebagai anak kepada seorang presiden. Salah satunya ialah beliau menjadi pemilik kepada kereta nasional Indonesia iaitu Timor. Timor turut berkubur setelah pimpinan Suharto digulingkan. Tommy sendiri pernah dipenjarakan atas kesalahan yang Abi kurang pasti. Lihatlah betapa rakusnya kerajaan Indonesia dikala itu merompak harta rakyatnya sendiri. Rakyat Indonesia dimabukkan dengan pembangunan dan ekonomi yang dikatakan stabil untuk terus membiarkan perkara itu berlaku.

Kesan dan akibatnya? Rakyat Indonesia menjadi mangsa paling teraniaya. Presiden Suharto telah kembali ke rahmatullah dan Tommy anaknya juga mungkin telah menjalani hukuman penjara tetapi penderitaan rakyat Indonesia masih berkekalan sehingga ke hari ini setelah 11 tahun kemelesetan ekonomi berlaku. Perasaan empati Abi muncul setelah melihat anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan yang penuh sesak dan berdebu tanpa sepatu di kaki. Pemuda-pemuda yang mengetuk cermin kereta untuk menjual barangan untuk sesuap nasi dan juga anak-anak yang masih lagi kecil sanggup berhujan untuk menjual jagung di Taman Safari Indonesia. Semua itu adalah kesan kemeruduman ekonomi Indonesia sejak penggulingan Suharto dan konco-konconya. Indonesia terpaksa meminjam wang dai IMF untuk menyelamatkan ekonomi dan kesan langsung daripada peminjaman tersebut masih dirasai sehingga hari ini. Nilai rupiah terus menerus menjunam. Jika dahulu RM1 = Rp 900 hari ini nilainya serendah RM1= Rp 3000. Tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi jutawan segera di sana berbelanja sakan termasuklah empunya diri ini.

Dalam berbelanja Abi terfikir, betapa tingginya kos hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Indonesia. Menurut Noah, harga bakso sebelum 1998 ialah sekitar Rp 2000 semangkuk. Harganya melonjak naik sehingga Abi terpaksa membayar Rp 12000 hanya untuk semangkuk bakso. Sememangnya jika ditukar nilai, ianya masih murah sekitar RM 4 semangkuk, tetapi bayangkan keperitan rakyat Indonesia, seolah-olah mereka terpaksa membayar RM12 yang pada suatu ketika dulu hanyalah berharga RM2.

Situasi-situasi demikian cukup memberi kesedaran pada Abi tentang betapa bahayanya penangan korupsi dan kronisme. Malaysia tidak terkecuali menghadapi masalah ini. Apakah kita rela dan dengan senang hati membiarkan negara mengalami nasib yang sama dengan Indonesia? Sudah tentu tidak! Indonesia dewasa ini makin pulih dengan kepimpinan Presidesn Bambang Yodhoyono yang dilihat amat berkesan. Korupsi dan 'duit kopi' masih berleluasa disana tetapi sedikit demi sedikit dapat dibendung. Peringatan Abi kepada diri sendiri dan juga kepada semua terutamanya belia, jangan kita biarkan budaya korupsi dan kronisme terus berakar dalam diri. Jika tidak, ianya akan terus hidup sedikit demi sedikit dan akhirnya akan memakan diri. Islam yang syumul amat menegah amalan korupsi yang merugikan ini.

Friday, April 3, 2009

Peralihan Kuasa PM

Malaysia telah menyaksikan satu lagi perkara penting dalam lipatan sejarahnya. Semalam Dato' Seri Najib Tun Razak telah secara rasminya dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke 6. Tugas berat yang diwarisi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dikenali sebagai Pak Lah.

Walaupun dihambat pelbagai permasalahan dalaman, kepimpinan terdahulu Pak Lah perlu diakui telah melakukan sedikit sebanyak perubahan positif di dalam pemerintahannya. Perkara yang paling diingati ialah sikap keterbukaan Pak Lah terhadap media alternatif yang sebelumnya diketahui umum dikekang penyiarannya. Terima kasih Pak Lah atas usahanya itu.

Bermula hari ini, DS Najib akan menjalankan tugasnya secara rasmi buat kali pertama. Harapan utama rakyat ialah DS Najib dapat semula memulihkan ekonomi Malaysia yang merudum dikala ini. Juga diharapkan kestabilan politik dapat dikekalkan disamping terus dengan usaha Pak Lah yang tidak menyekat kebebasan bermedia.

Harapan peribadi Abi, amatlah diharapkan DS Najib dapat mengatasi bayangan isterinya sendiri DS Rosmah Mansor. Memang diketahui ramai terdapat pelbagai seribu satu cerita yang kurang enak di dengar terhadap beliau yang sehingga kini masih lagi diragui kesahihannnya. Tetapi Abi merasakan DS Rosmah perlu menukar gaya perhubungan sosial 'barat'nya agar tidak terus dipandang jelek oleh masyarakat terutamanya orang melayu.

Monday, March 30, 2009

Tun Mahathir b Mohamed

Kehadiran Tun ke majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno menimbulkan seribu satu persoalan. Secara peribadi, kehadiran Tun amat memeranjatkan Abi setelah baharu sahaja komennya berhubung kemenangan Khairy dipaparkan di laman blognya.

Apakah Tun akan kembali ke pangkuan Umno? Walaupun kenyataan terbuka Tun membayangkan beliau hampir pasti menyertai semula Umno, ianya masih meragukan. Kemenangan Khairy selaku ketua pemuda Umno sedikit sebanyak boleh merencatkan hasratnya itu. Jika benar Tun akan kembali, pastinya ia akan memberikan kesan langsung kepada pihak pembangkang kerana sebahagian besar golongan 'atas pagar' yang memilih pembangkang di PRU 12 yang lalu adalah pengikut setia Tun.

Politik tetap politik. Perkara yang mustahil dengan mudah menjadi realiti.

Wednesday, March 25, 2009

Wanita UMNO


Sempat sebentar tadi Abi menonton keputusan pemilihan bagi wanita Umno. Seperti yang dijangka Dato' Seri Shahrizat berjaya menenggelamkan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai ketua baru bagi sayap kiri Umno itu.

Tahniah diucapkan kepada Dato' Seri Shahrizat dan para exco baru yang baru dilantik. Tetapi itu bukan isu yang ingin Abi kongsikan di entri kali ini. Isu yang ingin ditekankan disini ialah gelagat para exco yang baru dipilih memenangi jawatan tersebut. Kelihatannya mereka telah memenangi suatu pertandingan yang menawarkan hadiah RM 1 juta. Terkinja-kinja, terlompat-lompat, bertepuk tangan tidak terkawal dan menyebabkan keadaan hampir tidak terkawal.

Abi tertanya, apakah gembira benar memenangi jawatan yang sudah diketahui mempunyai tanggungjawab yang amat besar?? Tanggungjawab itu hadiahkah? Perkara yang patut dibanggakankah dan dihebahkankah? Tidak salah untuk bergembira memenangi sesebuah jawatan asalkan memadai untuk bersyukur, berterima kasih kepada yang memilih dan seterusnya berazam untuk melaksanakan jawatan tersebut sebaik mungkin.

Bersama kita nantikan keputusan pemilihan Majlis Tertinggi Umno yang lain pula. Harapnya gelagat 'meluat' sedemikian tidak lagi berulang.

Friday, December 5, 2008

Pelik tapi benar


Canggung rasanya bila difikirkan masih ada lagi individu professional yang menganggap peguam adalah satu pekerjaan yang hina. Membela pembunuh, perogol, pencuri dan lain-lain. Baginya rupa penampilan seorang peguam jenayah ini tiada sinar keimanan kerana membela individu-individu perosak bangsa, agama dan negara!

Tidakkah mengerti bahawa seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya yang berbunyi ' no one is guily unless its proven so'? Inilah yang boleh di bahasakan sebagai jumud lagi mundur. Lama dahulu pernah juga Abi terfikir, mengapa orang yang berbuat salah perlu dibela dan mengapa ada individu yang sanggup membelanya? Tetapi ianya mudah disangkal dengan dengan wujudnya kematangan diri.

Begini prosesnya bagi yang masih tidak mengerti. Sesiapa yang dituduh melakukan sebarang kesalahan akan dihadapkan ke mahkamah. Semasa prosiding di mahkamah, tertuduh masih lagi bebas dari sebarang kesalahan. Pendakwa dan peguam bela saling bertukar hujah berdasarkan fakta kejadian. Jika pendawa dapat membuktikan kesalahan tertuduh lebih dari keraguan yang munasabah, tertuduh dengan rasminya bersalah. Jika terdapat walau sedikit keraguan dapat dipastikan oleh mahkamah, tertuduh akan dibebaskan dari pertuduhan. Bukahkan lebih baik terkhilaf membebaskan orang yang bersalah dari tersilap menghukum orang yang tidak bersalah?

Apa yang ingin ditekankan disini adalah semuanya bergantung kepada diri sendiri. Adakah kerjaan seorang jurutera, akauntan, peniaga. doktor dan lain-lain lebih mulia disisi Allah berbanding peguam? Pernah satu hadis Abi dengar yang lebih kurang maksudnya menyatakan ramai para peguam adalah ahli neraka. Ini tidak boleh dinafikan sama sekali jika dilihat pada tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang peguam itu. Mudah memanipulasi dan dimanipulasiakan. Apa yang penting, keimanan dan kejujuran dalam mengendalikan sesuatu kes perlu dititikberatkan oleh seseorang peguam.

Konklusinya mudah, adalah amat mendukacitakan jika berpandukan kematangan berfikir rakyat Malaysia, ramai yang masih menganggap pekerjaan seorang peguam sama seperti apa yang difikirkan atau dibayangkan kanak-kanak berusia 7 ke 12 tahun.