Tuesday, September 15, 2009

Sinopsis

Dari 9 ke 7 dan berakhir di kota Jakarta..

Saturday, September 5, 2009

Bila Emosi Mengalahkan Logika


Isu 'kepala lembu' kecoh diperkatakan disini sana khususnya di negeri Selangor. Pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 dipertikai sekerasnya oleh penduduk tempatan.

Rentetan daripada itu, sebuah tunjuk perasaan 'aman' di anjurkan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Jumaat lalu. Tiada salahnya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, tetapi tindakan mengarak kepala lembu yang dianggap binatang suci agama Hindu kelihatan amat keterlaluan!

Untuk menangani masalah tersebut, kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif dengan mengadakan dialog dengan penduduk setempat. Dialog dihadiri Menteri Besar sendiri dan beberapa exco negeri. Seperti dijangka dialog tersebut tidak ubah menjadi sebuah perjumpaan tidak bertamadun hasil daripada penduduk yang sering menggangu ucapan pentadbir negeri. Segala penerangan sang pemimpin ditentang habis-habisan. Mujur kejadian lebih buruk tidak berlaku walaupun tanda-tanda kehadirannya amat jelas apabila seorang pemimpin Hindu bangun untuk memberikan pendapat. Beliau hampir dibaling kerusi.

Abi adalah rakyat Malaysia, berbangsa Melayu dan beragama Islam sejujurnya merasa kesal, sedih dan malu atas apa yang berlaku. Benar, penduduk berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berwajib setelah mengambil kira penempatan baru kuil tersebut terletak di kawasan penduduknya majorititnya beragama Islam. Tetapi dengan membawa kepala lembu bersama, diludah dan dipijak bukan sama sekali caranya. Ini radikal! Apa dengan cara tersebut masalah boleh diselesaikan? Atau mungkin dengan cara tersebut kaum India terus tunduk dan membenarkan ketuanan Melayu?

Perkara ini mungkin boleh dikaitkan dengan satu kejadian memalukan yang berlaku di kala solat Jumaat baru-baru ini. Sedang jemaah lain khusyuk mendengar khatib berkhutbah, seorang pemuda Melayu hampir menghayunkan parang kepada seorang pemuda Arab hanya kerana kereta mereka bergesel antara satu sama lain. Hebat sungguh perilaku pemuda tersebut sambil disaksikan oleh beratus jemaah yang hadir! Mungkin beliau merasakan dirinya kuat dan berani dengan bertindak sedemikian. Perlakuan jumud dan tidak langsung boleh diterima akal.

Percayalah, bangsa Melayu akan terus tidak dihormati dan di hina jika kita terus bersikap tidak rasional, beremosi dan tidak profesional. Seharusnya kita berasa malu setelah apa yang berlaku.

Inilah juga contoh yang terbaik jika manusia cuba menyelesaikan masalah dengan bertunjangkan emosi dan bukan dengan cara menggunakan akal tuhan berikan. Abi juga dahulu cenderung bermain emosi tatkala dirudung masalah tetapi perubahan mesti dilakukan. Hasilnya kepuasan yang lumayan. Masalah dapat dibendung tanpa perlu menyakitkan hati sesiapa. Isu 'kepala lembu' ini seharusnya diselesaikan dengan cara terbaik oleh semua pihak agar bahang api perkauman yang semakin dirasai dewasa ini dapat dikawal sepenuhnya. Sebaiknya segala bentuk politik dapat dihindarkan daripada isu ini baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Janganlah isu ini dijadikan alat untuk memenangkan parti sendiri dan menelanjangkan kelemahan parti lawan. Cukuplah, rakyat Malaysia sudah muak dengan permainan politik kotor sedemikian rupa.

Tuesday, September 1, 2009

Abi sayang Aki dan Tokki..

Mungkin dengan berblog cara yang terbaik untuk sampaikan apa jua yang terlintas di fikiran. Meluahkan apa yang dirasai jauh di lubuk hati.

Ingin Abi mengharapkan bantuan rakan-rakan di bulan Ramadhan al Mubarak ini untuk sama-sama berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua datuk yang sedang gering.

Mereka merupakan antara penyeri hidup sehinggalah ke hari ini. Masih segar dalam ingatan, Aki sentiasa menghadiahkan pelbagai jenis mainan di alam kanak-kanak. Juga tidak pernah lupa akan Aki yang berusaha sedaya upaya untuk menempatkan Abi dan adik beradik bersekolah di sekolah yang terpilih. Semuanya membuahkan hasil.

Tokki merupakan antara salah seorang manusia yang dikagumi. Tenaga tulang empat keratnya begitu luar biasa di zaman sihatnya. Kebun seluas seekar lebih dikerjakannya seorang diri. Abi juga masih di dukung tokki untuk menaiki van sekolah walhal dikala itu diri sudah menjangkau darjah 2.

Begitu hiba bila mengenang 2 hari yang lalu semasa mengurut tokki di rumah, beliau menyatakan sakitnya sudah tidak tertanggung! Kanser tulang belakangnya mengakibatkan beliau tidak berupaya untuk berbuat apa-apa walaupun hanya duduk. Zikir menjadi peneman sejati tatkala kesakitan mencucuk.

Aki pula terpaksa berulang ke hospital 3 kali seminggu untuk menjalani rawatan haemodalisis. Salur darah ditebuk di tangannya untuk tujuan itu. Selalu juga Aki meluahkan kebimbangannya sama ada masih sempatkah beliau melihat cucunya ini bekerja.

Justeru. alangkah beruntungnya jika doa-doa kalian dapat disalurkan kepada mereka. Doa Abi hanya satu, jika mereka masih mampu berbuat kebajikan dengan kudrat yang ada di dunia ini, mereka akan pulih seperti sediakala. Dan jika sebaliknya, ambillah mereka agar hilang segala keperitan menggunung yang ditanggung.. Sesungguhnya tuhan itu maha mengetahui keadaan hamba-hambanya.