Tuesday, June 2, 2009

Cerita dari seberang

Seminggu yang lalu Abi baru kembali dari kota Bandung. Seperti biasa, bila bercuti pasti ada pengalaman menarik yang mahu dikongsi. Pengalaman ini mungkin berlainan sedikit dari cerita-cerita biasa orang bercuti yang kebiasaannya manis-manis belaka. Pengalaman yang ingin Abi kongsi ialah pengamatan Abi tentang realiti kehidupan rakyat Indonesia pasca zaman kemelesetan ekonomi 1998.

Indonesia merdeka lebih awal dari Malaysia dan tidak dinafikan rakyat Tanah Melayu mula berapi bangkit menentang penjajah setelah mendapat inspirasi dari kemerdekaan Indonesia. Ianya merupakan negara kepulauan terbesar dunia. Berdasarkan saiznya yang besar, kepadatan penduduknya yang tinggi dan aset-aset negara yang melimpah ruah, sudah pasti Indonesia sememangnya negara yang amat bertuah. Prospek negara bekenaan tidak keterlaluan jika boleh dibandingkan dengan negara China dan India yang dilihat akan menjadi kuasa dunia dalam masa 50 tahun akan datang. Tetapi realitinya, umum mengetahui Indonesia antara salah sebuah negara yang bermasalah di dunia. Sudahlah ekonominya yang kelihatan begitu sukar sekali pulih dari belenggu kemelesetan semenjak tahun 1998, Indonesia juga sering diuji tuhan dengan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi dan peristiwa tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 rakyatnya.

Dikenang, dinilai dan difikirkan kembali, apakah punca utama masalah yang berlaku? Jawapannya hanya satu iaitu KORUPSI. Ekonomi Indonesia masih stabil sehinggalah berlaku tragedi ekonomi 1998 sehingga presidennya yang dikala itu Bapak Suharto disanjung, digulingkan oleh rakyat terutamanya pelajar melalui medium demonstrasi umum. Dengan keinginan untuk mengetahui dengan lebih mendalam, Abi sempat bertanya rakan yang pernah tinggal di Indonesia saudara Aidil Khalid dan juga saudara Noah iaitu supir yang menjadi pemandu pelancong di sana apakah keadaan sebenar ekonomi Indonesia sebelum dilanda kemelesetan ekonomi 1998. Kenyataan yang diberikan amat mengejutkan! Walaupun dari sudut luarannya dikala itu Indonesia kelihatan stabil mahu diri segi ekonomi dan sebagainya, realitinya amat mendukacitakan. Amalan korupsi dan kronisme amat berleluasa sehinggakan amalan sedemikian sudah dianggap perkara yang amat biasa bagi mereka. Contoh yang paling menarik ialah sehinggakan untuk mengisi kekosongan jawatan di Pejabat Agama Islam pun hendaklah didahului dengan wang sogokan. Contoh lain ialah penerimaan seseorang untuk menjadi laskar (askar) juga mesti disertai dengan wang sogokan.

Soal kronisme juga tidak diambil peduli oleh pihak penguasa dikala itu, Tommy iaitu anak lelaki Presiden Suharto sebagai contoh, beliau diberikan pelbagai kontrak dan jawatan lumayan oleh pihak penguasa hanyalah atas kapasitinya sebagai anak kepada seorang presiden. Salah satunya ialah beliau menjadi pemilik kepada kereta nasional Indonesia iaitu Timor. Timor turut berkubur setelah pimpinan Suharto digulingkan. Tommy sendiri pernah dipenjarakan atas kesalahan yang Abi kurang pasti. Lihatlah betapa rakusnya kerajaan Indonesia dikala itu merompak harta rakyatnya sendiri. Rakyat Indonesia dimabukkan dengan pembangunan dan ekonomi yang dikatakan stabil untuk terus membiarkan perkara itu berlaku.

Kesan dan akibatnya? Rakyat Indonesia menjadi mangsa paling teraniaya. Presiden Suharto telah kembali ke rahmatullah dan Tommy anaknya juga mungkin telah menjalani hukuman penjara tetapi penderitaan rakyat Indonesia masih berkekalan sehingga ke hari ini setelah 11 tahun kemelesetan ekonomi berlaku. Perasaan empati Abi muncul setelah melihat anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan yang penuh sesak dan berdebu tanpa sepatu di kaki. Pemuda-pemuda yang mengetuk cermin kereta untuk menjual barangan untuk sesuap nasi dan juga anak-anak yang masih lagi kecil sanggup berhujan untuk menjual jagung di Taman Safari Indonesia. Semua itu adalah kesan kemeruduman ekonomi Indonesia sejak penggulingan Suharto dan konco-konconya. Indonesia terpaksa meminjam wang dai IMF untuk menyelamatkan ekonomi dan kesan langsung daripada peminjaman tersebut masih dirasai sehingga hari ini. Nilai rupiah terus menerus menjunam. Jika dahulu RM1 = Rp 900 hari ini nilainya serendah RM1= Rp 3000. Tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi jutawan segera di sana berbelanja sakan termasuklah empunya diri ini.

Dalam berbelanja Abi terfikir, betapa tingginya kos hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Indonesia. Menurut Noah, harga bakso sebelum 1998 ialah sekitar Rp 2000 semangkuk. Harganya melonjak naik sehingga Abi terpaksa membayar Rp 12000 hanya untuk semangkuk bakso. Sememangnya jika ditukar nilai, ianya masih murah sekitar RM 4 semangkuk, tetapi bayangkan keperitan rakyat Indonesia, seolah-olah mereka terpaksa membayar RM12 yang pada suatu ketika dulu hanyalah berharga RM2.

Situasi-situasi demikian cukup memberi kesedaran pada Abi tentang betapa bahayanya penangan korupsi dan kronisme. Malaysia tidak terkecuali menghadapi masalah ini. Apakah kita rela dan dengan senang hati membiarkan negara mengalami nasib yang sama dengan Indonesia? Sudah tentu tidak! Indonesia dewasa ini makin pulih dengan kepimpinan Presidesn Bambang Yodhoyono yang dilihat amat berkesan. Korupsi dan 'duit kopi' masih berleluasa disana tetapi sedikit demi sedikit dapat dibendung. Peringatan Abi kepada diri sendiri dan juga kepada semua terutamanya belia, jangan kita biarkan budaya korupsi dan kronisme terus berakar dalam diri. Jika tidak, ianya akan terus hidup sedikit demi sedikit dan akhirnya akan memakan diri. Islam yang syumul amat menegah amalan korupsi yang merugikan ini.