Friday, August 29, 2008

DSAI ke parlimen: Impak dan kesannya kepada Malaysia

Kemenangan DSAI di Permatang Pauh baru-baru ini banyak melontarkan persoalan kepada rakyat Malaysia secara umumnya dan Abi sendiri secara khususnya. Antaranya ialah mampukah DSAI dapat merealisasikan impiannya untuk memimpin kerajaan baru menjelang 16 September ini seperti yang direncanakannya? Selain itu, rakyat Malaysia sekali lagi diberi peluang untuk melihat sejauh mana kehebatan insan bernama Anwar bin Ibrahim ini dapat meningkatkan moral para ahli pembangkang di parlimen untuk terus menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Pendapat Abi secara peribadi, ini adalah peluang yang terbaik bagi Malaysia semenjak merdeka untuk membuktikan kepada dunia akan demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah tulen kerana majoriti kerajaan dan pembangkang hampir setara. Ini secara langsung dapat menjadikan parlimen di Malaysia lebih hangat dengan isu-isu yang dapat memberikan kelebihan kepada rakyat. Cukuplah dengan retorik politik murahan yang sering dimainkan kebanyakan ahli politik kebelakangan ini. Kepada pihak kerajaan mereka perlu buktikan bahawa walaupun dengan kehadiran ikon pembangkang ini, mereka tidak sesekali gentar dan masih dapat melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan penuh saksama. Bagi pihak pembangkang pula mereka perlu untuk terus bangkit dengan lebih gah setelah disuntik dengan kehadiran DSAI ke parlimen untuk terus menerus menegur dan memperbetulkan kesilapan yang mungkin dilakukan oleh pihak pemerintah. Jika teori ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, Abi yakin bahawa Malaysia akan terus maju dan lebih dihormati dunia, insyaalah.

Sunday, August 3, 2008

I'm a rugby player!


'I'm a rugby player!', itulah ungkapan yang telah Abi gunakan di program perkenalan semasa minggu pertama menjejakkkan kaki ke alam universiti di UiTM Kedah beberapa tahun lepas. Abi menggunakan ungkapan itu bertujuan untuk membuktikan kepada rakan-rakan sekuliah bahawa melalui sukan kita dapat bersosial dengan baik. Diwaktu itu, pelajar program Pra Ijazah Undang-undang terkenal dengan sikap tidak mempeduli hal pelajar lain selain dari rakan sekuliah. Bagi Abi hal sedemikian tidak boleh dibiarkan dan akibatnya telah terbukti pelajar undang-undang tidak disenangi oleh pelajar program-program lain. Ungkapan keramat inilah juga Abi sering diusik oleh rakan-rakan sekuliah sehingga ke hari ini!. Tujuan sebenar entri ini adalah untuk mengumumkan bahawa hari ini merupakan antara hari terpenting bagi Abi semenjak melibatkan diri dalam sukan ini. Pasukan ragbi fakulti undang-undang telah berjaya mendapat tempat ke 4 dalam pertandingan sukan antara fakulti (SAF). Pencapaian ini amat membanggakan lebih-lebih lagi pertandingan ini disertai 25 fakulti UiTM! Dengan kejayaan ini juga Abi juga telah membuat keputusan drastik untuk mengundurkan diri terus dari sukan ini. Cukuplah sekadar sesingkat 4 tahun berhempas pulas untuk membuktikan kepada keluarga bahawa Abi bukan sekadar 'budak bola'. Abi juga berpengalaman bermain sukan terlasak di dunia ini. Sukan ragbi sudah dianggap sukan 'wajib' bagi kesemua anak lelaki Hj Awal. Walaupun pencapaian amat rendah jika dibandingkan dengan abang dan adik, Abi tetap berbangga. Terima kasih diucapkan kepada rakan sepermainan dan sekuliah Fakharuddin (Chemax) dan Ikram (Cheqa) sebagai orang yang bertanggungjawab menyakinkan Abi bermain sukan ini. Dengan perasan bangga Abi umumkan kepada dunia, 'I'm no longer a rugby player!'.